Kehidupan & kerjaya Shamrahayu A. Aziz

Shamrahayu dilahirkan pada 5 Jun 1968 di Kelantan, Malaysia. Pada umur 23 tahun, beliau melanjutkan pelajarannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di dalam bidang undang-undang dan undang-undang Syariah, dan kemudian melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Perbandingan Undang-Undang di universiti yang sama.[3]

Pada tahun 1995, beliau mula bertugas sebagai pensyarah undang-undang di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan seterusnya banyak membuat pengkajian mengenai hal-hal berkaitan kenegaraan, termasuk hubungan etnik dan etika serta peradaban.

Beliau seterusnya mendapatkan Diploma Amalan Syariah dan Undang-Undang pada tahun 2001, dan mengambil Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang (Ph.D) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2007.

Shamrahayu banyak menulis artikel-artikel yang diterbitkan dalam jurnal undang-undang, buku serta akhbar-akhbar. Setakat tahun 2020, beliau telahpun menulis lebih 500 penulisan dan telah membentang lebih 100 kertas kerja.[1]

Antara buku-buku yang ditulis beliau termasuk Islam dalam Perlembagaan Persekutuan (2018), Isu-Isu dalam Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Islam (2016), Issues in the Enforcement of Islamic Criminal Law in Malaysia (2011), Polemik dalam Pindaan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah (2016) dan Criminal Procedure in Syariah Courts (2011). Beliau juga merupakan penulis bersama buku Kontrak Sosial: Perlembagaan Persekutuan Pengikat Jatidiri Bangsa Malaysia Merdeka (2014) mengenai penginstitusian Perlembagaan Persekutuan, dan turut menyunting tiga buah buku termasuk sebuah buku kompilasi hasil tulisan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.[3]

Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syariah di Jabatan Perdana Menteri sejak tahun 2014.

Pembentangan eksekutif mengenai Statut Rom terhadap Raja-Raja Melayu

Pada 2 April 2019, Shamrahayu bersama-sama tiga orang ahli akademik lain, iaitu Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Rahmat Mohamad dan dua orang pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi mengadap Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi membentangkan sebuah rumusan eksekutif terhadap Majlis Raja-Raja mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.[5]

Kajian dan pembentangan tersebut yang dijalankan secara sulit itu dihebohkan oleh sembilan orang pelajar universiti apabila mereka mengecam tindakan empat orang ahli akademik ini untuk menasihati Baginda Raja-Raja Melayu, ketika mana kerajaan Malaysia di bawah pemerintahan Pakatan Harapan sedang mempertimbangkan penandatanganan kontroversial Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.[6]

Pembentangan tersebut menjelaskan tentang kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu terutamanya Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara dan peranan mereka yang akan terjejas jika perjanjian tersebut ditandatangani. Apabila perjanjian tersebut ditandatangani, tiada pengecualian boleh dibuat dan kerajaan harus menerima perjanjian tersebut secara sepenuhnya, yang akan membuka ruang kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk membawa Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia ke mahkamah tersebut, sejurusnya mencemar kedaulatan Baginda.[7]

Tindakan empat orang ahli akademik tersebut mendapat kecaman dari pihak kerajaan, termasuk Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkannya sebagai "berat sebelah".[8] Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengatakan bahawa kedudukan empat orang ahli akademik tersebut akan dibincangkan,[9] namun tiada tindakan diambil setelah dikecam oleh ramai pihak.

Pada Sabtu yang berikutnya, Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia akan menarik diri daripada menandatangani Statut Rom.[10]